Pemilik Omot Pet Shop Sdn Bhd Muhamad Ashrof Halil berniaga bahan keperluan kucing peliharaan termasuk produk makanan, aksesori dan khidmat dandanan di Cyberjaya. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Rezeki sayang kucing, usahawan raih RM70,000 sebulan

SHAH ALAM, 9 SEPT: Dek kecintaan mendalam terhadap kucing, Muhamad Ashrof Halil, 28, sanggup melabur hingga RM122,000 bagi membuka kedai penjagaan haiwan berkenaan.

Untuk memperoleh modal sebanyak itu bukan mudah. Terasa peritnya. Terpaksa meminjam RM50,000 daripada ibu selain sumber lain bagi menjayakan impiannya.

Dibuka atas nama Omot Pet Shop pada September 2017, sebuah jenama kedai konsep makanan haiwan antarabangsa, hiasan dan susun atur premis turut diubah suai selaras jenama tersebut.

Kini, anak muda lulusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Kuala Lumpur – Malaysia France Institute boleh menarik nafas lega. Perniagaannya mampu menjana jualan RM70,000 sebulan.

Mengimbau cabaran peringkat awal berniaga di kedainya di Cyberjaya, Muhamad Ashrof meluahkan detik-detik kesusahan berniaga bahan keperluan kucing peliharaan termasuk produk makanan, aksesori dan khidmat dandanan.

“Pada bulan pertama, jualan hanya cecah RM2,000 sahaja. Hendak bayar sewa kedai RM3,000 sebulan pun tidak lepas. Itu belum lagi bil lain-lain dan gaji pekerja.

Kecintaan terhadap kucing mendorong Muhamad Ashrof Halil membuka kedai haiwan peliharaan menggunakan modal sendiri pada 2017. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Maklumlah kedai baharu, kawasan juga baharu. Lot kedai yang saya sewa pula terletak di blok belakang, agak tersorok sedikit dan masih banyak kosong menyebabkan kurang dikunjungi orang,” katanya kepada Selangorkini.

Emosi terganggu

Beliau mengakui emosinya agak kecamuk ekoran sambutan perniagaannya kurang memberangsangkan. Bukan sekali dua terlintas betapa perniagaan itu bakal berakhir seawal bulan pertama lagi.

“Kalau berterusan macam ini, lingkuplah aku,” bisik Muhamad Ashrof kepada diri sendiri.

Sedangkan, sebelum kedai itu dibuka, pendapatan khidmat mendandan kucing dari rumah ke rumah boleh tahan, sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Namun, sebaik sahaja kedai beroperasi, hal sebaliknya pula berlaku.

Muhamad Ashrof melawan rasa putus asa. Beliau membulatkan tekad untuk meneruskan perniagaan. Dibantu seorang pekerja, mereka ligat membuat promosi menerusi Facebook dan media sosial lain.

Usahanya membuahkan hasil pada bulan kedua. Jualan meningkat, memadai untuk menampung kos operasi perniagaan dan modal pusingan. Tidak sampai lima bulan kemudian, jualan mencecah RM40,000 sebulan.

Beliau juga bersyukur. Meski pertama kali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, pendapatan meningkat lebih 10 peratus. Kebanyakannya jualan dalam talian.

Sebaik sahaja kelonggaran diberi termasuk kebenaran operasi perniagaan haiwan peliharaan, jualannya melonjak 30 peratus.

Pun begitu, perkhidmatan hotel kucing yang disediakan di tingkat atas kurang mendapat sambutan ekoran larangan rentas daerah.

Grow PKNS

Namun, Muhamad Ashrof tidak cepat berpuas hati. Beliau mengorak langkah dengan menyertai Program Usahawan Siswazah (Grow) PKNS selama enam bulan.

Ternyata keputusannya tepat. Jualan meningkat selepas beliau menyertai program itu pada Jun tahun lalu. Banyak perkara baharu dipelajari termasuk teknik pemasaran menggunakan pengiklanan Google.

Muhamad Ashrof Halil menyertai Program Usahawan Siswazah (Grow) PKNS selama enam bulan dan berjaya melonjak pendapatan syarikatnya pada suku tahun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Menerusi teknik itu, saya hanya keluarkan modal RM10 sehari untuk iklan kedai dan iklan itu memperoleh 120,000 tontonan dalam sebulan.

“Hasilnya, pendapatan syarikat bagi suku tahun 2021 hampir menyamai pendapatan keseluruhan tahun 2020,” kata pengarah urusan Omot Sdn Bhd itu.

Melalui bimbingan tenaga pengajar berpengalaman, beliau menaik taraf perniagaan kepada syarikat sendirian berhad selepas dua bulan menyertai Grow PKNS.

Status sendirian berhad diperoleh meningkatkan lagi keyakinan pembekal dan pelanggan. Lebih-lebih lagi, Muhamad Ashrof terpilih sebagai pemenang anugerah peserta Grow terbaik bagi sektor peruncitan.

Kemajuan perniagaannya mendorong beliau membantu golongan yang hilang pekerjaan akibat wabak Covid-19. Mereka antaranya bekas pramugari dan ibu tunggal. Pada masa ini, beliau menggaji lima pekerja bagi melancarkan operasi perniagaannya.

 


Pengarang :